“Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.”

Alhamdulillah kita semua masih lagi berupaya untuk melakukan kebaikan, masih mampu melakukan amal jariah kerana Allah. Mungkin ada antara kita yang kadang kala tidak terdaya untuk berbuat baik kepada orang lain dek kerana uzur ataupun kurang upaya dan bermacam-macam sebab lagi. Jadi, kepada sesiapa yang masih berupaya untuk melakukan kebaikan, berlumba-lumbalah selagi termampu. InsyaAllah semoga apa yang kita kerjakan itu tidak sia-sia.

Sekejap.. kita tak boleh baik sangat? Kenapa? Buat baik perlu berpada-pada? Kenapa pula? Kenapa ada batasan dalam membuat perkara yang baik? Sahabat semua ada jawapan tak untuk soalan tu? Saya pun tak berapa pasti kenapa perlu macam tu. Jika kita dilarang untuk berbuat kejahatan, “buat jahat jangan sekali”, itu memang betul lah.. Cuma, kenapa kalau berbuat baik perlu berpada-pada? Dari mana lah agaknya datang prinsip seperti itu, kan?

Apa pun, sahabat.. Mungkin ada antara kita yang sudah pun terbiasa dengan pegangan seperti itu. Mungkin ada antara mereka yang fikir, apabila kita berbuat baik kepada orang melebih-lebih, mungkin orang akan memijak kepalanya ataupun paling-paling orang akan mengambil kesempatan kepadanya. Kepercayaan itu haruslah dibuang jauh-jauh. Kenapa pula kita harus takut diambil kesempatan dan dipijak kepala? Dan orang yang dibuat baik itu, kenapa mahu mengambil kesempatan terhadap orang yang berbuat baik kepadanya dan mahu memijak kepalanya? Memang ada diajarkah di dalam agama kita? Astaghfirullah….

Sahabat, kita semua tidak perlu risau tentang risiko dipijak kepala dan diambil kesempatan oleh orang lain apabila melakukan perkara baik kepadanya. Tahu tak kenapa? Sebab, dalam agama kita, kita tidak disuruh untuk mengehadkan perbuatan baik. Taburkanlah segala kebaikan kepada sesiapa pun tanpa perlu berpada-pada. Bukankah itu lebih baik?

Kita janganlah risau sekiranya memang ada antara mereka yang cuba mengambil kesempatan terhadap kita. Minta pertolongan dari Allah supaya diperbetulkan niatnya dan berubah menjadi seorang yang tahu menghargai kebaikan sahabat kepadanya. InsyaAllah… Mungkin suatu ketika nanti dia akan berubah… Allah kan ada..

Dan kepada mereka yang mungkin terambil kesempatan atas kebaikan orang lain dan sebagainya, diharap agar janganlah melakukan hal seperti itu. Cubalah hargai kebaikannya dan jangan sesekali pijak kepalanya. Cuba bayangkan jika kita berada di tempatnya. Kita telah berbuat satu kebaikan terhadap orang lain dan akhirnya dia bukan sahaja tidak menghargai kita bahkan dia pijak kepala kita. Apa yang kita akan rasa? Mesti kita tidak suka kan, diperlakukan macam tu? Jadi, apabila hendak melakukan sesuatu terhadap orang lain, cubalah letak diri kita di tempatnya dan cuba kita rasa bagaimana perasaaannya apabila diperlakukan seperti itu. Jika baik, maka teruskanlah.. Jika sebaliknya, tumbuk dada, tanyalah iman.


InsyaAllah sahabat.. Jika prinsip “buat baik berpada-pada” itu dibuang dari minda setiap kita, insyaAllah kita semua akan hidup dalam keadaan yang saling menghargai. Ingat sahabat, kehidupan kita ini, kita tidak akan terlepas daripada bergantung kepada pertolongan orang lain pada sesetengah waktu. Kadang-kala kita perlu meminta pertolongan dari orang lain. Sebaliknya, jika kita pernah memijak kepala orang dan mengambil kesempatan terhadap orang lain, masih adakah yang mahu menolong kita? Jadi, fikir-fikirkan dan renung-rengungkanlah tentang perkara tersebut. Semoga kita semua boleh berubah menjadi lebih baik dan tiada lagi yang takut untuk berbuat baik dan tiada lagi yang membalas kebaikan orang kepadanya dengan sesuatu yang tidak baik. InsyaAllah…